Petikan berita di bawah aku ambil dari harian metro. Memang berita ini dah tersebar di internet lebih awal. Memang menggemparkan. Begitu banyak spekulasi yang timbul berhubung perkara ini. INi merupakan pengajaran dan pengalaman hebat untuk Erra sediri. Kadang-kadang sukar untuk para peminat terima akan perkara sebenarnya. Banyak lagi perkara yang para peminat tidak tahu. Tetapi ingatlah Allah itu maha mengetahui.
‘Erra ada pilihan lain’
KUALA LUMPUR: Pelakon dan produser filem, Hans Isaac mengesahkan hubungan cintanya dengan Fazira Wan Chik, 33, atau Erra sudah terputus sejak lebih dua minggu lalu berikutan bekas Ratu Cantik Malaysia itu dikatakan bakal mengakhiri zaman jandanya dengan mengahwini Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Imran Engku Zainal Abidin.
Perkara itu dijelaskan Hans sendiri ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai gosip yang tersebar luas mendakwa Pengarah Urusan Tall Order Production itu menemui Erra dan kekasih barunya di kediaman penyanyi dan pelakon jelita itu.
“Peristiwa itu berlaku dua minggu lalu. Memang sedih apabila mengenangkan perbuatan Erra tapi saya tak mahu menoleh ke belakang dan enggan memikirkannya lagi.
“Saya tak nafikan ketika ini perasaan saya tak tenteram dan marah tapi saya nekad untuk melupakannya dan meneruskan hidup seperti biasa,” katanya tegas.
Pada masa sama, Hans turut berkata, Erra memberikan penjelasan dia akan mendirikan rumah tangga dengan Engku Imran dan meminta agar hubungan mereka tidak lagi diteruskan.
“Waktu saya bertanyakan mengenai hal itu, Erra menjelaskan dia bakal berkahwin dengan Engku Imran tapi bukan atas kehendak dirinya, sebaliknya kerana kemahuan ibunya.
“Memang sebelum ini saya serius dengan Erra tapi dengan apa yang terjadi, biarlah segalanya menjadi kenangan. Sebenarnya saya tak mahu komen langsung perkara yang sudah berlaku kerana tak mahu masyarakat menyalahkan saya pula.
“Selama ini pun ada yang beranggapan saya bukan jenis orang baik-baik. Apa yang berlaku, saya serahkan segalanya kepada Tuhan. Kebenaran siapa salah dan siapa benar akan diketahui juga satu hari nanti.
“Apa yang dapat saya katakan, saya tak mempunyai sebarang hubungan lagi dengan Erra melainkan urusan perniagaan. Itu pun kakitangan saya yang akan berurusan dengan Erra,” katanya.
Justeru, Hans meminta wartawan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perancangan Erra hendak berkahwin dengan Engku Imran, supaya bertanya kepada pasangan itu sendiri.
Ditanya sama ada dia akan hadir pada hari perkahwinan Erra nanti, pelakon itu berkata, dia mungkin tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.
“Dia masih kawan saya tapi saya tak akan hadir pada hari bahagianya itu. Baguslah kalau mereka bercinta dan mengambil keputusan berkahwin jikalau itu jalan terbaik buat mereka berdua,” katanya.
Hubungan intim Erra dengan Hans mula menjadi bualan ramai ketika mereka berlakon bersama dalam filem Persona Non Grata terbitan Nizarman Productions pada 2005. Penggambaran filem itu dibuat di Thailand. Ketika itu rumah tangga Erra bersama Yusry KRU berkocak gara-gara Hans.
Bagaimanapun, Erra menafikan keretakan rumah tangganya berpunca daripada hubungan rapatnya dengan Hans kerana mereka hanya kawan. Pun begitu, selepas Erra bercerai dengan Yusry pada 2006, sekali lagi hubungan istimewa Erra dengan Hans kembali diperkatakan apabila Hans menghadiahkan jam tangan Rolex bernilai RM10,000 sempena hari jadi Erra ke-33 pada Februari lalu.
Pun begitu, Erra tetap menafikan mereka bercinta sambil berkata, tiada salahnya dia menerima hadiah mewah daripada rakan baik.
Mengulas sikap Erra yang sering menafikan dia dan dirinya sebenarnya bercinta, Hans berkata, ketika itu dia diminta seseorang untuk tidak memberikan sebarang penjelasan.
“Tetapi saya tak mahu beritahu siapa yang melarang saya memberikan sebarang kenyatan mengenai hubungan saya dengan Erra. Biar ia menjadi rahsia saya,” katanya.
Selepas Persona Non Grata, mereka dipertemukan pula dalam filem Qabil Khushry Qabil Igam dan filem terbitan syarikat Hans sendiri iaitu Cuci dan Los Dan Faun arahan Afdlin Shauki.
Selain aktif dalam dunia seni, Erra kini terbabit dalam perniagaan kecantikan dengan melancarkan produk kecantikannya sendiri, FerraKosmoLook (Ferra).
Sementara itu, Erra gagal dihubungi kerana menurut pembantu peribadinya, Syed Badrul Hashim, pelakon itu tidak mahu memberikan sebarang komen dan tidak mahu diganggu kerana menjalani penggambaran filem usahasama Bollywood dan Hollywood, bertajuk Hidden.
Menurut Syed Badrul, Erra hanya memberitahunya bahawa berita ‘panas’ yang hangat diperkatakan sekarang tidak pernah terjadi dan dia tidak mahu melayan perkara yang dianggap remeh itu.
Beliau berkata, Erra kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap penggambaran filem Hidden yang keseluruhannya dibuat dalam bahasa Inggeris.
Labels: Gosip
posted by admin at 12:59 PM | Permalink |
[ back home ]
Comments for Erra - Hans - Engku Emran