Tahun ni AF menampilkan 16 pelajar yang aku rasa 8 boys dan 8 gurls... ramaikan mesti jenuh nak kenal bebudak nie awal-awal nanti. Lagi satu masa konsert tu nanti mungkin agak panjang kalau tahun-tahun sudah abis pukul 11.00 malam tahun nie aku rasa akan abis kul 12 kot. Tapi sebab program Imbasan dan takde jadi time slot itu yang diaorang guna balik. Lantaklah.....
Untuk Diari AF akan diadakan sepanjang minggu kecuali hari Sabtu sebab ada konsert. Jadi ada lebih peluang untuk viewer untuk lihat kerenah pelajar AF dalam akademi. Tapi aku tak sure pasal tayangan Diari AF akan diadakan disebelah tengahari atau tidak. Dan masa untuk diari berapa jam sehari. Pembaharuan lain Debat AF akan disiarkan pada hari Ahad juga. Program ini kalau ikutkan dari SM dan Joe macam Imbasan tapi mungkin lebih panas kot. Untuk undian ada tambahan, sekarang kita boleh undi beberapa peserta dalam satu SMS mungkin contoh macam ni AFUNDI JOE KLUBBKIDD, MP3SEEDER, LINKEEN, SULTAN MUZAFAR KE 32999. jadi undi kauorang akan pergi untuk setiap contoh student yang diatas. Tak pasti pulak jumah caj SMS tu ikut berapa banyak nama ke atau tak. Aku rasa mesti satu nama 60 sen. Takan Astro nak kasi discount kot untuk undi pukal camnie. Rugi ooo...
Dan diaorang confirm tahun ni takkan ada AFMASUK. Jadi kalau dah out jerk takde peluang kedua lagi. Hahahahha yang nie aku suka mana taknya bila ada AFMASUK jerk confirm student tu akan naik podium. cam hampeh student lain yang dah masuk final awal-awal lagik tak dapat kereta, buat frust tetek jerkk. Hadiah tahun ni masih belum sure lagi ada ke rumah dan kereta macam tahun lepas. Nak ke penaja kereta kasi kereta pada Juara dan Naib juara sengal cam tahun lepas. Sekarang masa kita tunggu jerk barulah kauorang boleh beli top up untuk undi semula. Sudah terasa juga teruja untuk AF kali ini...
Petang semalam pembelot blog aku sapalagi kalau bukan Linkeen kasi aku satu email luahan hati Linda Onn pasal kes dia tak muncul di Red Carpet Oscar tempoh hari. Kalau kauorang nie busy body cam aku nie bacalah apa yang Linda Onn tu tulis..
KRONOLOGI
PERINGKAT AWAL
* Penghujung Januari 2007 - Linda diberitahu oleh Rostam (Pengurus Program Era) tentang pemilihan Linda untuk ke Los Angeles ..
* Setelah disahkan melalui perbualan telefon bersama Nini (Star Movies),Linda kemudian berhubung dengan Shamel (pegawai Star Movies) untuk perkara-perkara yang lebih lanjut.
- Linda diberitahu yang mereka (Star Movies) akan mencari pakaian jenama antarabangsa untuk Linda bagi acara besar ini.
- Surat permohonan pinjaman/tajaan baju daripada BCBG diberikan kepada Linda (bertarikh 9
Februari 2007 seperti dilampirkan).
- Demi untuk memenuhi kehendak STAR MOVIES,Linda pergi ke Butik BCBG (KLCC) dan mencuba pakaian mereka. Setelah dipilih pakaian yang sesuai dengan imej Linda, Linda diberitahu oleh pembantu pelanggan BCBG bahawa pakaian itu model lama dan tidak dicadangkan untuk ditaja. Hanya pakaian model baru yang boleh ditaja. namun pakaian model baru tidak sesuai dengan imej Linda dan Linda mengambil keputusan menggunakan khidmat Jovian (yang mana Linda mengupahnya untuk pakaian Linda bagi acara Anugerah Bintang Popular)
- Setelah diberitahu kepada Shamel,dia setuju dan meminta lakaran pakaian tersebut ditunjukkan terlebih dahulu kepada pihaknya. Peluang ini digunakan Linda untuk mereka fesyen pakaian yang sesuai dengan imej Linda dan menampilkan ciri Melayu dan ketimuran.
- Setelah siap lakaran dan dalam pada masa yang sama pakaian tersebut dalam proses disiapkan, dengan bangganya Linda memberitahu bahawa pakaian Linda adalah gabungan kebaya (yang menampakkan ciri-ciri wanita timur) dan gaun labuh (sedikit sentuhan barat) .
- Kira-kira 2 minggu sebelum tarikh dijangka berlepas ke LA (22hb Feb), Linda diberi surat sokongan oleh pihak STAR Movies untuk permohonan VISA US. 16 Februari 2007, Linda menghadiri temuduga permohonan VISA bersama kakak (Intan) dan ianya diluluskan. Pihak kedutaan meminta kami kembali untuk mendapatkan VISA pada 21 Februari 2007. Pihak STAR Movies maklum akan proses permohonan dan kelulusan visa ini.
Kronologi peristiwa ('kehilangan' Linda)
20 Feb 07
- Sidang akhbar bersama media, mengenai pengumuman Linda dan Dominic ke Los Angeles untuk acara ‘Live From The Red Carpet-79th Academy Awards’ anjuran Star Movies di Star Hill,KL. Nini dan Shamel bersama beberapa staf Star Movies yang lain turut hadir.
- ‘Sketch’ atau lakaran baju yang dilukis oleh Jovian ditunjukkan kepada Shamel dan Shamel kemudiannya menunjukkan kepada Nini sebelum sidang akhbar bermula. Menurut Shamel,Nini setuju dengan lakaran yang diberi dan Shamel juga turut memuji lakaran pakaian tersebut.
- Di sidang akhbar yang sama,nama Jovian sebagai pereka Indonesia untuk baju Linda dinyatakan dihadapan Nini dan berbelas wartawan yang lain.
- Keadaan masih berjalan lancar.
21 Feb 07
- Berita mengenai sidang akhbar disiarkan di kebanyakan akhbar di Malaysia
22 Feb 07 (waktu Malaysia )
- Semuanya dalam keadaan baik seperti yang dirancang. Linda dan Intan bertolak ke Los Angeles dari KLIA jam 3 petang.
- Kapal terbang transit di Taipei.
-Keadaan masih baik. Tiada sebarang panggilan atau sms diterima daripada sesiapa.
22 Feb 2007 (waktu LA)
- Tiba di LAX Airport, Los Angeles lebih kurang jam 7 malam (11 pagi waktu Malaysia- 23 Feb)
- Sejurus tiba, Linda menerima sms daripada Pengurus Besar Stesyen Radio ERA (En. Rostam) meminta Linda menghubungi beliau dengan segera.
-Setelah dihubungi, beliau menyatakan Pihak Pengurusan Tertinggi ASTRO (majikan Linda) menerima panggilan telefon daripada seseorang yang berpengaruh di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang 'melarang' Linda mengenakan pakaian pereka fesyen Indonesia (Jovian) untuk acara ‘red carpet’ di Academy Awards nanti dengan alasan mempertikaikan mengapa Linda menggunakan khidmat pereka fesyen luar dan bukan pereka fesyen tempatan.
- Rayuan Linda tidak diterima oleh Rostam.
-Setelah itu,perbualan demi perbualan telefon berlangsung antara Linda dan Pengurus Rangkaian AMP (Cik Kudsia Kahar) yang mana Linda merayu untuk terus mengenakan pakaian yang telah sedia ada dibawa.
- Menurut Kudsia,pakaian gantian akan diterbangkan ke LA.
- Rayuan Linda tidak diterima oleh Kudsia.
23 Feb 07
- Keluar bersama Dominic,Cheng (PA Star Movies) untuk berjumpa Debra (produser) di Kodak Theatre untuk mempelajari kedudukan kamera,hos dan sebagainya.
- Perbincangan Linda,Dominic dan Debra berjalan dengan lancar
- Rayuan demi rayuan terus dibuat oleh Linda kepada Kudsia. Kudsia cuba membantu menenangkan fikiran Linda yang terganggu mengenai perkara ini .
- Perbualan telefon yang sangat panjang tetapi tetap diakhiri dengan keputusan yang sama.
- Linda meminta Kudsia memberi bukti ‘larangan’dalam bentuk bersurat (hitam-putih) dimana Pihak Pengurusan Tertinggi ASTRO menerima arahan daripada seseorang di Jabatan Perdana Menteri tetapi menurut Kudsia,tiada surat menyurat antara mereka. Katanya, surat rasmi tidak diperlukan oleh kerana panggilan tersebut dibuat pada waktu malam, kira-kira 10.30 malam pada hari Khamis (22 Feb) (waktu Malaysia ) kepada Pihak Pengurusan Tertinggi Astro iaitu Mr Ralph Marshall. Menurut Kudsia lagi , panggilan yang dibuat oleh seseorang daripada JPM sudah cukup kuat untuk sesuatu arahan. Andaikata pakaian tersebut disarung juga,pelbagai masalah akan timbul. Antaranya lesen stesyen TV akan ditarik,kontrak sebuah siaran TV tidak akan disambung dan kerjaya serta kontrak Linda di stesyen TV dan radio bakal tergugat.
-Linda bertanya kepada Kudsia – Benarkah termaktub dalam mana-mana undang-undang yang menyatakan orang Malaysia tidak boleh mengenakan pakaian pereka luar negara? Jawab Kudsia - Beliau bersetuju yang sepanjang pengetahuannya,tiada undang-undang sedemikian.
-Puas Linda memujuk Kudsia agar beliau dapat berbual dan memujuk pihak atasan supaya Linda boleh mengenakan pakaian yang selesa dan sesuai dengan Linda tetapi beliau mengatakan ini adalah arahan pihak atasan,bukan dari beliau.
- Menurut Kudsia,beliau berkali-kali merayu bagi pihak Linda kepada pihak atasan dan terus memujuk Linda supaya menerima keadaan.
- Perbualan yang sangat panjang bersama Kudsia dan rayuan serta pujukan membuat Linda tersentuh untuk mempertimbangkan semula walaupun dalam keadaan yang amat berat.
- Menurut Kudsia,pakaian Linda akan diterbangkan bersama dengan salah seorang pereka terkemuka di Malaysia
- Rayuan dibuat kerana Linda kurang selesa dengan pertukaran pada saat-saat akhir (last minute). Tambahan lagi pakaian tersebut dikatakan dibuat dalam keadaan 'kecemasan'
- Linda terus menanti pakaian yang akan tiba dan mengharap kesesuaian pakaian tersebut.
24 Feb 07
- Seperti yang diaturkan oleh Cheng,perjumpaan untuk ‘rehearsal’ bersama Debra akan diadakan pada jam 5.30 petang tetapi Cheng telah datang ke bilik Linda lebih kurang jam 3.30 petang untuk membawa Intan (kakak merangkap pembantu peribadi) pergi mencari bodysuit. Menurut Cheng ini adalah atas arahan pihak Star Movies.
- Intan enggan menemani Cheng kerana tidak mahu meninggalkan Linda seorang di dalam bilik. Walaubagaimanapun,Linda telah memberitahu Cheng saiz yang sesuai untuk Linda.
- Akhirnya,kami tidak pasti kenapa Cheng tidak keluar membeli apa yang telah diarahkan oleh pihak Star Movies kepadanya
- Cheng tidak keluar dari bilik kami dan berkali-kali mengatakan dia tumpang duduk di bilik kami kerana biliknya sedang dikemas (housekeeping)
- Lebih kurang 5 petang,kami pergi ke pejabat Debra untuk menjalani latihan (rehearsal)
- Linda mendapat berita daripada Cheng bahawa Nini (Star Movies) akan tiba bersama pakaian rekaan Radzwan Razwill. Tidak dinafikan,pereka tersebut adalah pereka yang terkenal dan Linda bersetuju rekaan-rekaan beliau amat menarik.
25 Feb 07
- Seperti yang diaturkan,pada jam 10.30 pagi,jurumekap dan jurudandan rambut akan datang ke bilik Linda untuk memulakan persiapan bagi acara Academy Awards dan kami harus bergegas ke Kodak Theatre pada jam 12.30 tengahari
- Tiada apa-apa berita mengenai pakaian Linda .
- Pada jam 6 pagi,Cheng datang ke bilik kami dan memohon supaya Linda mengadakan latihan bersama Nini yang baru tiba dari Malaysia dan kemudiannya menjalani latihan bersama Dominic pula.
- Intan agak terkejut kerana tiada apa-apa rancangan yang diaturkan sebelum ini mengenai perkara ini dan tidak mahu mengganggu masa rehat Linda.
- Cheng memohon Intan menelefon Nini terus dan kemudian pulang ke biliknya.
- Perbualan antara Intan dan Nini menyentuh mengenai pakaian. Intan terus merayu dan memohon berkali-kali kepada Nini supaya mempertimbangkan semula permintaan kami memandangkan masa yang diberi sudah sangat suntuk . Walaubagaimanapun,Intan memohon Nini datang ke bilik untuk melihat pakaian yang sedia ada dibawa oleh Linda.
- Setelah melihat,Nini memberi pujian pada pakaian tersebut namun tetap dengan pendiriannya.
- Perbualan Intan dan Nini diakhiri dengan permohonan Nini untuk mengadakan sesi latihan pada jam 9 pagi dan akan menyentuh semula mengenai pakaian hanya selepas latihan. Kata Nini,”We’ll talk about the dress later”
- Selepas latihan dijalankan bersama Dominic,lebih kurang 11 pagi,jurumekap dan pendandan rambut sudah pun berada di bilik.
- Keadaan berjalan lancar. Nini tidak langsung menyentuh soal pakaian bersama Linda.
- Dalam keadaan persediaan,Nini muncul bersama pakaian yang dibawanya lebih kurang jam 11.30 pagi.
- Keadaan menjadi sedikit tegang dan tertekan kerana kami menyangka soal pakaian bukan lagi menjadi isu.
- Akhirnya Linda menyarungkan pakaian tersebut dan ternyata tidak selesa disebabkan ;
1) Korset yang tidak sesuai dan tidak selesa dengan bahagian atas tubuh Linda. (Ini kerana tiada proses ‘fitting’/ukuran badan yang dilakukan bersama Radzuan). Lalu kata Nini,gunakan saja pakaian dalam Linda yang ada dibawa untuk menyesuaikan korset tersebut agar padan di badan. Linda rasa kurang selesa. Ini kerana, agak kurang manis dan tidak sesuai apabila mengenakan kebaya berkorset tetapi 'tali' pakaian dalam dapat dilihat jelas. Ini sedikit sebanyak boleh mengganggu konsentrasi persembahan Linda.Tiada pakaian tambahan yang Linda bawa kerana tidak sangka terjadi hal sebegini di saat akhir.
2) Kain lace baju kebaya itu berwarna coklat cair (skin color) yang mana jelas seolah-olah menampakkan sebahagian besar warna kulit Linda. Ini juga turut membuatkan Linda kurang selesa. Linda tidak mempunyai masalah mengenakan baju lace jika ia berwarna lain dan bukan seperti ‘skin color’. Jika ia berwarna,mungkin boleh dipertimbangkan lagi.
* Dalam keadaan yang terlalu suntuk,Linda seolah-olah tidak diberi peluang untuk membuat pilihan. Linda tidak menyalahkan pereka fesyen tersebut kerana kami tidak pernah bertemu untuk sesi ukuran badan dan pilihan pakaian,apatah lagi menanyakan tentang keselesaan Linda.
* Linda cuba terus bersikap terbuka dan berkompromi. Andaikata Nini membawa beberapa pasang pakaian gantian (2 , 3 atau 4) dari Malaysia di saat-saat akhir begini,pastinya Linda ada beberapa pilihan, tapi hanya satu sahaja baju gantian yang dibawa dan itu sahaja baju yang boleh keluar di TV? (Pada awalnya,Linda sangka mereka akan terbangkan beberapa pasang baju gantian supaya Linda boleh membuat pilihan)
* Intan dan Linda merayu buat kesekian kalinya agar Nini mempertimbangkan semula permintaan kami untuk mengenakan baju Jovian di saat-saat akhir,namun Nini tetap berkeras.
* Nini berkata,”You are not doing a fashion show,you are just the host”. (Anda bukan membuat persembahan pakaian,anda hanya sebagai pengacara). Begitu jugalah di benak fikiran Linda. Linda bukan seorang model pakaian tetapi hanya pengacara. Mengapa semua orang begitu terdesak mengenai pakaian Linda ?
* Menurut Nini,pakaian rekaan Radzwan Razwil ini telah diperlihatkan kepada pihak pengurusan tertinggi (antaranya Rohana-CEO Astro,Kudsia Kahar dan Ralph Marshall) yang berada di Malaysia dan hanya pakaian ini sajalah yang boleh ditayangkan di acara siaran langsung itu. Pakaian lain tidak dibenarkan untuk ditayangkan. Apatah lagi baju Jovian.
* Linda bertanya kepada Nini apakah perkara yang paling buruk akan terjadi jika Linda terus memakai pakaian Linda. Jawab Nini,” Linda,If you don’t wear this dress,you’re not going on TV”. (Linda,jika anda tidak pakai baju ini,anda tidak akan keudara di TV)
* Apabila Linda berkata yang Linda sungguh tidak selesa dan tidak boleh mengenakan pakaian itu,Nini berkata dengan nada tegas,"…then you are not going to be on tv- pack your things". Lantas Nini terus keluar dari bilik hotel Linda.
* Linda tersentap dan sangat sebak mendengar ungkapan yang sungguh keras daripada beliau. Dengan harga diri dan maruah yang sangat tinggi,Linda dan Intan mengemas barang. Ternyata pujukan dan rayuan kami tidak diendahkan. Linda anggap ini satu penghinaan kepada profesionalisme Linda dan pengalaman yang Linda miliki sepanjang karier. Sungguh tidak disangka.Hanya disebabkan sepasang baju,penat lelah Linda ke LA, tidak tidur malam Linda untuk acara ini,ulangkaji yang berulang kali,berjauhan dengan keluarga di Malaysia dan segala pengorbanan, semuanya rasa seperti tidak berbaloi.
* Di waktu itu Linda rasa seperti diugut dan dipaksa. Ini adalah kali pertama dalam hidup Linda sepanjang menjadi pengacara TV hampir 10 tahun ,’diugut’ sebegini. Mengapa perlu ada nada ugutan dan nada paksaan ? Sedangkan ini tubuh Linda dan Linda berhak menentukan apa yang disarungkan di tubuh sendiri atau sekurang-kurangnya ada perbincangan terlebih dahulu dan unsur tolak-ansur. Inikah profesionalisme?
* Demi untuk mempertahankan prinsip, maruah dan harga diri selepas diperlakukan begitu,Linda tidak ada pilihan dan menerima hakikat walaupun, pada masa yang sama memikirkan keghairahan untuk mengacara di acara yang sangat berprestij itu. Bukan kemahuan Linda,apakan daya sudah tidak dibenarkan.
* Sewaktu mengemas barang, beberapa minit selepas itu, Nini kembali untuk mengambil semula pakaian tersebut dan memberitahu Intan,“…Kalau wartawan tanya saya, saya akan cakap Linda sakit teruk ya? ”.
* Intan lantas menjawab – “Just tell the truth” (Ceritakan sahaja perkara yang sebenar)
* Selepas kami mengemas, kami singgah ke bilik Cheng untuk mengambil salinan gambar kenangan dari kameranya tetapi dia tidak ada di situ. Selepas itu,kami ke bilik Dominic untuk mencari Cheng. Cheng tiada. Yang ada hanya Dominic,Nini dan 2 orang jurumekap
* Di sana , Nini dan Dominic pula merayu Linda untuk keudara tetapi masih lagi perlu mengenakan pakaian yang sama. Maka, Linda masih tiada pilihan.
* Di lobi hotel,Nini berjumpa kami (Linda dan Intan) dan meminta kami mengembalikan pas masuk ke ‘red carpet’ Academy Awards.
* Linda dan Intan terus berlalu keluar dari hotel
SPEKULASI
- Pihak Linda tahu, di tanahair pelbagai spekulasi dan andaian negatif mengenai 'kehilangan' Linda dibuat dan perkara ini melibatkan reputasi dan nama baik Linda di dalam kerjaya mahupun masa hadapan.
- Diharap segala spekulasi dan tuduhan ramai yang mengatakan ….
- Linda tarik diri kerana takut dengan acara besar.
- Linda tarik diri kerana gementar menemu bual bintang Hollywood
- Linda tarik diri kerana tidak pandai berbahasa Inggeris
- Linda tarik diri kerana terlalu penat membeli belah di LA
- Linda tarik diri hanya kerana baju dan tidak profesional.
- Linda tarik diri kerana ada masalah dengan produksi,,,
- dan pelbagai lagi….
…..sudah maklum dan jelas dengan penerangan Linda ..
JOVIAN
- Jovian adalah pereka fesyen muda yang dilahirkan di Indonesia tetapi sudah menetap di Malaysia sejak kecil.
- Menggunakan nama sebagai pereka fesyen Indonesia atas sebab-sebab komersial
- Beliau baru menamatkan pengajian di salah satu institut di Malaysia .
- Bapanya adalah orang Malaysia ..
- Pernah berkhidmat untuk ramai artis lain di acara2 besar (Anugerah dsb) .
- Pakaian yang dibuat untuk Linda adalah idea Linda dan Intan (kakak) . Jovian merealisasikan
idea kami dalam bentuk pakaian siap.
- Untuk menyiapkan pakaian bagi acara ini,Linda,Intan dan Jovian mengambil masa yang lama iaitu berminggu-minggu dan hampir setiap hari kami berbincang. Hinggakan Jovian pulang selewat jam 4 pagi untuk membantu Linda dan Intan menghasilkan pakaian yang kami inginkan semata-mata untuk acara berprestij Star Movies ini.
PERSOALANNYA
- Mengapa tiada yang melarang pada peringkat awal tentang perkara ini sebelum Linda berangkat ke LA? Mengapa bila Linda di LA baru terdengar 'larangan' ini? Sedangkan pengesahan Linda untuk bertugas di sana telah dibuat lebih awal. Malah sidang akhbar telah berlangsung dua hari sebelum tarikh Linda berlepas ke LA dan dalam majlis tersebut telah dinyatakan dengan jelas pakaian yang akan linda kenakan sewaktu bertugas di 'red carpet'. Kenapa persediaan awal mengenai apa yang boleh dipakai dan tidak boleh dipakai tidak diberitahu awal-awal ?
- Mengapa bila ditanya dari pihak majikan Linda mengenai perkara ini,mereka tidak berjaya mengemukakan surat rasmi untuk arahan ‘larangan’ dan membiarkan Linda tertanya-tanya adakah ini benar kerana tiada sebarang pengesahan bertulis.
- Mengapa pada peringkat awal,pihak Star Movies mencadangkan Linda menggunakan pakaian jenama antarabangsa (contoh: BCBG,Versace dsb) untuk acara ini (sila rujuk lampiran) dan sekarang pakaian pereka fesyen Indonesia menjadi persoalan ?
- Mungkin Linda kurang pengetahuan tentang hal ini, tetapi benarkah warganegara Malaysia tidak boleh mengenakan pakaian pereka fesyen luar negara apabila menjalankan tugas di luar negara? Ataupun perkara ini hanya direka atas alasan tertentu?
- Andai Linda salah,harap maafkan dengan persoalan ini- Wujudkah undang-undang sebegini sebelum ini? Seandainya ia bukanlah undang-undang tetapi ingin dijadikan terma dan syarat dalam tugasan ini, haruslah ianya dinyatakan dengan jelas dan lebih awal serta juga dinyatakan dalam kontrak.
- Mengapa pakaian pengacara Malaysia yang pergi ke acara yang sama tahun lepas yang menggunakan pakaian jenama antarabangsa tidak dipertikaikan,tiada larangan dan tiada isu mengenainya ? Malah kali ini, Linda cuba menampilkan ciri-ciri kemelayuan dan ketimuran.
- Mengapa begitu keras amarannya hanya kerana sepasang baju? "Hanya baju itu yang boleh keluar TV. Baju lain tidak boleh?" Mengapa tugas Linda untuk mengacara diperkotak-katikkan hanya kerana Linda tidak dapat memakai pakaian tersebut? Mengapa semua pihak begitu terdesak hanya kerana sepasang baju atau cuba memastikan hanya baju itu yang dipakai oleh Linda di Red Carpet?
* Di manakah hak dan keperibadian seseorang dalam mempertahankan apa yang disarung pada badan sendiri ?
* Sila rujuk lampiran keratan akhbar:-
KERATAN 1
Akhbar Harian Metro, Khamis, 1 Mac 2007, sisipan tengah - RAP, m/s R7,
"Radzwan Nafi Baju Linda Seksi" oleh Rudy Imran. Memetik beberapa perenggan dari artikel itu,
"Sebelum itu timbul kontroversi apabila Jabatan Perdana Menteri (JPM) menegur Linda yang bercadang menggayakan baju ciptaan pereka Indonesia , Jovian Mandagie di majlis itu. JPM mengarahkan pereka tempatan, Radzwan Razwill menghasilkan busana menggantikan pakaian rekaan Jovian."
"Saya tahu Linda tidak suka bergaya seksi, malah seawal menerima arahan JPM, itu juga yang dikatakan kepada saya supaya baju yang dihasilkan tidak boleh seksi," katanya (Radzwan Razwill)
KERATAN 2
Akhbar Harian Metro, Jumaat, 2 Mac 2007, sisipan tengah - RAP, m/s R3 oleh Hartati Hassan Basri, "JPM Nafi Arah Pereka Fesyen". Memetik beberapa perenggan dari artikel itu;
"Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan menafikan ada mengeluarkan arahan kepada Radzwan."
"Apa yang jelas, Jabatan Perdana Menteri tidak ada kaitan dengan perkara ini," katanya (jurucakap Jabatan PM) ketika menghubungi Harian Metro, semalam.
KERATAN 3
Akhbar Harian Metro, bertarikh 2 MAC 2007, Jumaat, m/s 14 (halaman nasional@setempat), artikel "Salah faham tempahan baju".Memetik bebarapa perenggan dari artikel itu;
"Saya sendiri menempah baju terbabit dan tidak timbul isu, Radzuan menerima arahan daripada pihak lain," katanya. (Naib Presiden Bersekutu Serantau Asia , STAR Movies, Nini Yusof.
"Namun, apa yang pasti STAR Movies sendiri yang memilih Radzuan Razwill menghasilkan baju khas terbabit," kata Nini Yusof
AKHIR KATA
-Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui keadaan yang sebenar. Linda berdiri atas nama maruah dan harga diri yang Linda pertahankan.
-Apa yang disarungkan di tubuh Linda tidak seharusnya menjadi perkara paksaan atau ugutan, tetapi ia sepatutnya menjadi suatu perbincangan dan tolak ansur yang profesional.
-Ini bukan perkara mainan, kerana ia melibatkan prinsip, maruah, harga diri malah reputasi serta nama baik Linda di dalam bidang ini. Rancangan TV sehebat dan sebesar dunia sekalipun tidak akan dapat membeli maruah dan harga diri seseorang.
-10 tahun Linda bergiat dalam bidang ini dan ini adalah kali pertama Linda mendapat peluang sebegini yang dianggap mungkin sekali sepanjang hayat,untuk Linda menarik diri tanpa sebab yang mendesak dan terpaksa adalah suatu perkara yang terlalu bodoh. Ini kerana Linda lihat peluang ini adalah sebagai platform untuk terus maju dan melonjakkan lagi nama dalam bidang ini.
- Bukan niat menghampakan peminat,bukan merajuk atau tidak professional. Apakan daya,sudah tidak dizinkan untuk keudara di TV. Linda adalah mangsa keadaan. Ini adalah penjelasan Linda yang sebenar.
- Diharap segala spekulasi buruk mengenai Linda dapat dijernihkan.
* Di sebalik rasa teramat kesal dan kecewa tidak bermakna Linda menyimpan dendam dan kemarahan serta tidak menuding jari kepada mana-mana pihak yang terbabit. Linda menerima keadaan di mana semua pihak mungkin mempunyai alasan dan sebab yang tersendiri untuk bersuara dan bertindak sedemikian.
* Malah Linda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak STAR Movies (terutamanya Pn Nini Yusof), Pihak Astro, Pihak Radio ERA (Cik Kudsia dan En Rostam) yang memberi kepercayaan kepada Linda untuk acara tersebut. Tidak dilupakan juga, kepada pihak rakan media serta peminat yang menyokong karier Linda khasnya untuk acara ini.
* Cuma harapan Linda, perkara seperti ini tidak harus berulang lagi kepada mana-mana personaliti, pengacara, artis atau mana-mana pihak, bukan sahaja khusus untuk acara ini tapi kesemua acara tempatan mahupun antarabangsa. Semoga isu ini dijadikan teladan dan pengajaran di masa hadapan agar lebih berhati-hati serta profesional.
* Linda secara peribadi amat merasa kesal, sedih dan kecewa dengan isu ini. Apatah lagi harapan dan cita-cita musnah hanya kerana isu sehelai baju. Linda memohon kepada pihak-pihak yang terlibat dan bertanggungjawab supaya menjelaskan isu ini dengan telus dan benar agar reputasi Linda yang sedikit sebanyak tercalar dapat dibersihkan
* Di sebalik segala persoalan yang masih belum ada jawapannya, Linda tetap menuntut penjelasan dan kebenaran.
“Terima kasih kerana sudi membaca. Terpulanglah apa andaian dan penilaian yang bijaksana daripada pihak anda. Yang penting Linda punya harga diri dan maruah dan tidak mahu dipijak semudahnya oleh pihak-pihak tertentu. Berani kerana benar. Tidak berpeluang mengacara di Oscars bukanlah penamat hidup Linda…..”
Wassalam.
LINDA ONN