Akhirnya penantian aku dan Eton untuk menonton Gubra berakhir jua. Sabtu lepas awal-awal pagi lagi kami telah tercongok didepan pintu masuk pawagam. Dengan tidak bersarapan pagi itu, aku membeli seberapa banyak makanan yg boleh mengalahkan orang nak pegi picnic pula. Tiket yang telah aku beli awal-awal lagi takut sold out kononya akhirnya bertukar tangan tepat jam 11.30 pagi. Dan tayang Gubra pun bermula……..
“Jangan terlalu banyak berfikir… Rasakan sahaja…” pesanan Yasmin Ahmad aku pegang erat dari awal sehingga ke penghujung tayangan dan hasilnya satu kepuasan yang amat nyata dapat dirasakan. Tiada sekelumit kekesalan yang dibawa pulang bahkan ketidak sabaran untuk menunggu Mohsein pula yang terbit. Walaupun tayang untuk waktu itu tidak penuh langsung dan kelihat beberapa apek dan nyonya membawa anak mereka keluar dari pawagam Digi.
“Gubra” yang membawa maksud gabra, cemas dan perasaan tidak tenteram terhadap sesuatu situasi merupakan sekual dari filem Sepet arahan Yasmin Ahmad yang membawa 1001 mesej. Penonton hanya perlu sedikit terbukaan pemikiran untuk mendalami apa yang tersirat dan cuba disampaikan oleh Yasmin. Gubra masih mengekalkan ramai pelakon asal filem Sepet memaparkan dua cerita yang tidak berhubung antara satu sama lain, iaitu kisah keluarga Orked yang pernah kita kenali melalui filem Sepet dan kisah Li seorang bilal yg tidak pernah kita kenal sebelum ini.
Setelah kematian Jason, Orked telah mendirikan rumah tangga dengan Arif (Adlin Aman Ramli) diawal filem dimulai dengan kisah Pak Atan yg diserang penyakit diabetis sehingga dikejarkan ke hospital memberi gabaran awal bagaimana Gubranya seseorang itu apa bila menghadapi situasi yg tidak mereka ingini dan ia cukup sebagai tanda pengenalan mengenai maksud Gubra oleh Yasmin kepada para penonton. Pengenalan watak Temah (Rosie Rashid) sebagai seorang ibutunggal yg terpaksa hidup menjadi pelacur untuk menyara hidup hinggakan dijangkiti kuman HIV begitu ‘pricking’. Walaupun kedua-dua kisah ini tidak berhubungan antara satu dengan yg lain tidak seperti filem-filem yang kita pernah tonton sebelum ini. Yasmin berjaya membangunkan setiap watak dengan begitu baik sekali. Perkembangan plot-plot didalam filem ini juga dilakukan dengan teratur dan mudah difahami. Kejujuran Yasmin didalam menyampaikan realiti kehidupan masyarakat Malaysia begitu ironi, walaupun adakalanya tampak agak keterlaluan hinggakan adakalanya kita sendiri sukar untuk mengakuinya.
Babak bila mana Orked mengetahui suaminya mempunyai hubungan intim dengan wanita Pensonic begitu normal dan dapat kita lihat disekeliling kita. Begitu juga sifat keibuan Temah yang mahu melihat anaknya menjadi insan yang berguna. Ini merupakan sifat semulajadi yang kita tidak dapat nafikan. Yasmin cuba membuka kotak pemikiran kita luar dari kebiasaan. Babak seperti bilal mengusap seekor anjing barangkali boleh membawa ke arah salah tafsiran jika kita terlalu berpandukan kepada kerutinan yang asyik diterapkan kepada kita sejak bertahun-tahun (anjing dan babi haram). Tetapi babak itu cukup untuk menerangkan Islam itu agama yg mudah, sederhana. Bukanlah seperti yang asyik digambarkan oleh pihak-pihak yang anti Islam. Babak dimana Orked ingin terkinja-kinja dibelakang lori Pick-up Alan (Alan Yun Kam Lun) juga unik bagi aku. Sebab ia seolah-olah menggambarkan keberanian Yasmin untuk mengutarakan sesuatu yang mengikut naluri keanak-anakkan jarang sekali kita nampak dilakukan ketika ini. Walaupun didalam hati setiap orang dewasa itu perasaan atau pun keinginan melakukan perkara-perkara yg dianggap keanak-anakan ini cukup meluap-luap. Kebanyakan kita khuatir dianggap sebagai penongkah kebiasaan.
Mesej-mesej kasih sayang, kekesalan, kesetiaan dan kemaafan juga turut jelas dipertontonkan dengan babak-babak seperti Arif mengaku keterlanjurannya, begitu juga dengan babak Maz (Noorkhiriah Ahmad Shapie), Kiah (Juliana Ibrahim) dan Temah dibuaian memberi semangat kepada Temah dihari-hari terakhirnya. Babak perdamaian ibu dan bapa Alan cukup simbolik bagi aku. Ketika Orked melihat semula gambar-gambar dia dan Jason ketika bersama dahulu cukup untuk membuat penonton merasai kerinduan yang amat sangat dipendam oleh Orked.
Dari segi sinematografi memang aku tidak sangkalkan ianya biasa sahaja. Tidak banyak teknik yang digarapkan untuk penghasilan filem ini. Kebanyakan teknik camera hanya statik sahaja. Yasmin lebih menekankan pelakonnya untuk bermain dengan angle shoot yang mampu dicapai oleh kamera. Munkin adakalanya agak membosankan tetapi para pelakon berjaya menyelubungi kebosanan itu dengan kebanyakkan mereka mempersembahkan yang terbaik.
Gubra cuba menterjemahkan corak kehidupan masyarakat Malaysia dengan menggambarkan intergrasi antara kaum yang begitu padu tidak kira apa jua perbezaannya. Dan nampaknya percubaan Yasmin Ahmah kali ini berjaya sekali. Diingatkan sekali lagi sebelum anda menonton filem ini, setkanlah di minda anda sedikit keterbukaan dan rasalah selebihnya. Ianya merupakan cermin diri kita sendiri dan bukan sekadar filem..
*Jangan tinggalkan pawagam sebelum cerita habis tunggulah sehingga anda dihalau kerana ada hadiah untuk anda di akhir filem ini (selepas credit).
Nakal beri 4 bintang untuk Gubra.
Untuk ulasan lain :-
MovieXclusive
FilemKita
- Posted at April 18, 2006 3:23 PM | By